Sunday, December 5, 2010

Prolog

Kata pujangga, bahagia ada di mana-mana dan kita akan merasa bahagia bila kita membahagiakan orang di sekeliling kita. Benarkah begitu? Andai apa yang perlu kita lakukan untuk membahagiakan orang lain itu bukanlah kehendak dan kemahuan kita, adakah kita akan merasa bahagia?

Rasanya terlalu sukar untuk menjawab soalan itu kerana sehingga ke saat ini, aku masih belum merasai kebahagiaan itu walaupun keputusan yang aku buat amat membahagiakan orang di sekelilingku.

Sehingga ke hari ini, aku masih tidak percaya bahawa dalam zaman yang serba moden ini masih ada lagi ibu bapa yang menetapkan jodoh anak-anak mereka di usia kanak-kanak. Hingga saat ini, aku masih tidak percaya bahawa salah seorang daripada mangsa keadaan itu ialah diriku sendiri.

“Zahim Lukman!” Aku bersuara perlahan. Saat itu duniaku seakan kelam dan bercelaru. Ketenangan hatiku diragut kejam oleh perkhabaran itu. Saat cincin emas permata delima di sarungkan ke jari manisku, badanku menggigil dan peluh dingin memercik keluar.

“Ini sebenarnya satu janji tetapi sudah seakan menjadi satu wasiat pula sebab orang yang berharap tu telah tiada.” Kata-kata umi menyapa telingaku membuatkan otakku berputar laju.

“Ini sebagai tandanya saja, tempohnya kami tak tetapkan. Kalau Tasya berpeluang melanjutkan pelajaran, kita akan adakan majlis sebaik saja Tasya tamat belajar.” Sambung umi lagi sambil menyarungkan seutas rantai emas ke lenganku. Saat ini, aku cuma mampu mendengar tetapi tidak mampu bersuara. Apa pilihan yang aku ada?

Ayah dan Puan Aina yang aku panggil umi serta Encik Hasyim yang aku panggil papa seakan telah bersepakat sesama mereka. Pertemuan ini hanya untuk memberitahu aku secara rasmi.

Kepulangan umi dan papa aku hantar dengan seribu rasa berlegar di hati. Saat umi memeluk dan mencium pipiku, air jernih menitis laju. Walau tanpa pertalian darah, kasih sayang mereka berdua terhadapku lebih dari segala-galanya.

“Ayah tidak akan memaksa, semuanya terletak di tangan Tasya. Cuma….Ayah harap Tasya mendapat yang terbaik.” Ayah bersuara. Ketika itu aku dan ayah duduk di anjung selepas menghantar kepulangan umi dan papa.

Seperti tadi, aku hanya mendengar. Apa yang aku rasa waktu ini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Kita tak tahu apa akan terjadi esoknya tapi bersyukur dan redha dengan apa yang tuhan berikan pada kita, nescaya apa yang kita anggap tidak baik sebenarnya itulah yang terbaik untuk kita.”Ayah menyambung bicaranya.

Apa lagi yang boleh aku katakan? Andai begitu, aku memanjatkan doa moga-moga apa yang dikatakan oleh ayah akan menjadi satu kenyataan. Cuma ada sedikit rasa terkilan di hati kecilku dengan apa yang telah di rancangkan oleh arwah ibu untuk mencorakkan masa depan hidupku.

“Seorang ibu tentulah inginkan yang terbaik untuk anaknya. Mungkin ada sebabnya kenapa arwah ibu mahukan begini.” Ayah bersuara lagi setelah lama kami membisu.

Aku masih diam seperti tadi dan ayah juga begitu, seakan dia kehilangan kata untuk mengajak aku berbicara.

“Ayah bukan ingin mendesak jauh sekali memaksa Tasya. Tapi… Andai masa boleh diundur atau andai kata boleh ditarik balik, ayah sanggup lakukan apa saja untuk kamu Tasya.” Ayah bersuara kemudiannya.

Bergenang air jernih dikelopak mataku. Biarpun tidak diucap dengan kata-kata, aku tahu kasih ayah terlalu telus untukku. Biarpun hidup tanpa ibu tetapi aku tidak pernah kekurangan kasih sayang seorang ibu kerana ayah mampu memberikan kedua-duanya. Demi tuhan, walau dengan apa cara sekali pun aku sanggup melakukan apa saja untuk seorang lelaki yang bernama ayah yang berada di hadapanku ini.

“Tak apalah ayah, teruskan saja. Ayah tak perlu buat apa-apa, anggap saja Tasya setuju dengan segala yang telah di tetapkan.” Aku bersuara akhirnya. Biarlah ini menjadi satu pengorbanan paling besar dalam hidupku.

Bukan mudah untuk menerima sesuatu yang tidak kita ingini dengan setulus hati. Bertahun lamanya mencuba, di saat aku telah merelakannya, Hakim datang menghancurkan segalanya.

“Aku nak kau batalkan perkahwinan kita.” Tegas kata-kata Zahim menyapa telingaku. Serta-merta pandanganku beralih ke wajahnya.

Bertentang mata dengan Zahim, hatiku sedikit bergetar. Entah kenapa mulutku seakan terkunci tatkala melihat renungannya walaupun aku tahu sinar matanya penuh dengan rasa benci.

Inilah kali pertama aku bertemu lelaki yang bergelar tunanganku bertahun dulu. Kali pertama juga aku temui seorang lelaki yang mampu mengusik hati kecilku. Dialah lelaki pertama mampu mengganggu gugat perasaanku dengan hanya satu renungan.

“Kenapa kau pandang aku begitu?” Soal Zahim, memeranjatkan aku. Kasar sekali bahasanya.

Apa yang mampu aku lakukan cuma mengelengkan kepala sambil menunduk ke bawah. Rumput menghijau di kaki aku kuis perlahan. Pertemuan ini bukanlah pertemuan yang aku inginkan tetapi aku harus jua laluinya dengan tenang.

“Kenapa hari ini Zahim? Bertahun lamanya ikatan ini terjalin, kenapa hari ini baru awak ingin memutuskannya?” Soalku, cuba untuk berlembut dengannya.

“Sebab aku tak pernah bersetuju dengan semua ini. Aku tak pernah inginkan kau sebagai tunangan aku jauh sekali untuk mengambil kau sebagai isteri aku.” Zahim bersuara angkuh.

Terkejut dengan kata-katanya, aku terus mengangkat kepala.
“Dunia kita berbeza. Kenyataannya, kau gadis kampung yang pastinya kolot dan membosankan. Lebih jelas lagi, kau tidak layak untuk hidup di samping aku.”

Kata-katanya menghiris hati kecilku. Lukanya cukup menyakitkan, kesannya melekat di setiap denyutan nadi. Andai kelukaan ini mampu dirawat, parutnya tetap akan mencacatkan.

Bertahun lamanya ikatan ini terjalin, empat tahun lamanya diikat secara rasmi, kenapa baru hari ini dia datang menemuiku? Kenapa tidak setahun atau dua tahun yang lepas? Cukup memeritkan apabila pertemuan yang pertama ini melakar sejarah duka.

Mana mungkin untuk aku membatalkan segalanya sedangkan semuanya telah dirancang dengan sempurna. Cuma tinggal tiga hari sahaja lagi untuk kami di satukan dalam ertikata ijab dan kabul.

No comments:

Post a Comment