Wednesday, December 8, 2010

Bab 1

Zahim Lukman!!! Bagai ingin tercabut jantungku bila terbaca nama yang tertera pada sampul surat coklat tanpa setem itu. Entah kenapa bilik yang berhawa dingin tiba-tiba betukar menjadi hangat, sehangat perasaanku waktu ini. Sesaat nafasku terhenti dan mataku terpaku pada sebaris nama tersebut.

Zahim Lukman....Sekali lagi aku mengulang baca nama itu. Serta merta nafasku terasa sesak dan aku menarik nafas panjang. Menyebut namanya pun sudah mengundang rasa benci, apatah lagi jika mengingati sejarah hitam yang pernah dia corakkan ke dalam hidupku. Rasa benci yang telah sekian lama bermukim di hati kini bertukar menjadi dendam yang terlalu sukar untuk aku hapuskan.

‘Arghh.... Janganlah jadi bodoh. Bukankah ramai lagi manusia di muka bumi ini yang bernama seperti itu?’ Aku bermonolog sendiri, cuba menenangkan hatiku yang sudah bercelaru saat ini.

Merenung kembali surat tersebut dan beberapa keping surat lain, aku mengandaikan mungkin bos aku, Haji Zainal telah tersalah beri kerana kesemua surat yang lain beralamatkan Mewah Holding. Aku tersenyum sambil mengelengkan kepala.

Aku berkira-kira ingin menyerahkan surat tersebut kepada Haji Zainal semula, takut juga jika surat ini mengandungi dokumen penting. Tiba di depan pintu pejabatnya, barulah aku teringat tentang pemergian lelaki itu ke Ipoh sebentar tadi. Aku mengeluh perlahan, semenjak kebelakangan ini penyakit pelupaku semakin menjadi-jadi.

Sewaktu ingin mengatur langkah untuk ke pejabatku semula, aku berpapasan dengan Sabrina, Admin dan HR Manager Mewah Holding. Senyuman persahabatan aku hulurkan namun senyumanku langsung tidak berbalas. Aku menunduk ke bawah, sedikit terasa hati dengan kesombongan perempuan itu.

‘Tak apalah, sombong tu penyakit hati. Moga-moga dia sembuh dari penyakit tersebut’. Aku berkata sendiri.

Kakiku terhenti di meja Linda tetapi dia tiada di situ. ‘Ke mana pulak dia ni?’ Gumamku sendiri. Linda merupakan kerani senior di situ dan dia juga merangkap setiausaha tak rasmiku.

Linda yang baru datang dari arah Pantry dengan membawa segelas minuman terkedek-kedek berlari apabila melihat aku tercegat di tepi mejanya. Aroma Nescafe yang masih berasap di tangannya meresap ke rongga hidung begitu menyegarkan. Tersenyum aku melihatkan gelagat gadis yang selalu kecoh dan kepoh itu.

Baru tiga minggu mengenali Linda, perwatakannya cukup menyenangkan aku. Mulutnya agak becok tetapi dia cekap dalam menjalankan tugasnya. Selama tiga minggu ini, pelbagai cerita aku dengar dari mulutnya.

“Cik Sabrina tu cemburukan Cik Tasya.” Bicara Linda dua hari lepas berulang di telingaku.

“Kenapa cemburukan saya pulak?” Soalku agak kehairanan.

“Yalah, sebelum ni dia perasan yang dialah wanita melayu tercantik di Mewah Holding ni. Sekarang bila Cik Tasya masuk sini, dia rasa tergugat sebab Cik Tasya ni lagi cantik dari dia.” Jelas Linda, betul-betul memeranjatkan aku.

“Saya lagi cantik dari dia?” Aku tidak percaya dengan kenyataan yang dibuatnya itu.

Kalau dilihat dari segi pemakaian dan gayanya yang seksi itu, aku tidak percaya jika dikatakan dia cemburu. Jika difikirkan secara logik, dia tidak perlu cemburukan aku. Lenggoknya saja sudah mampu mengalahkan aku apatah lagi jika nak dibandingkan dengan perkara lain.

‘Mmmmm…Cemburu itu juga penyakit hati. Kalau benar begitu, moga-moga Allah menyembuhkan dia dari penyakitnya itu’ Sekali lagi aku berkata di dalam hati, memanjat doa dari Yang Maha Esa untuknya walau pun mengikut firasatku wanita itu terlalu bencikan aku. Kenapa? Aku sendiri tidak tahu.

"Cik Tasya cari saya?" Linda bertanya ketika dia hampir di mejanya. Minuman di tanganya sudah diletakkan di atas meja.

“Lin, awak kenal tak siapa Zahim Lukman ?”

Linda menyambut pertanyaanku dengan kening yang terangkat dan kemudiannya sebuah senyuman terukir di bibirnya.

“Ohhh…Cik Tasya pun dah jatuh hati pada Encik Zahim Lukman ya?” Soalnya dengan senyuman meleret di bibir.

“Hish! kamu ni, jangan nak mengarut. Saya langsung tak kenal dia.” Balasku membuatkan Linda tercengang seketika. Dia seakan keliru, mungkin hairan kenapa aku bertanyakan lelaki itu sedangkan aku langsung tidak mengenalinya

“Ini ada surat yang tertulis nama Zahim Lukman. Mungkin Haji Zainal salah bagi pada saya tadi. Kalau awak kenal dia, tolong bagi balik surat ni pada dia atau serahkan balik pada Haji Zainal.” Ujarku sambil menghulurkan surat coklat tersebut kepadanya.

“Ohhh…Encik Zahim Lukman tu tuan punya Hakim & Co dan dia juga penasihat undang-undang Mewah Holding.” Jelas Linda. Aku menganggukkan kepala tanda faham.

Handsome orangnya, Cik Tasya… tapi sayang dah beristeri.” Sambungnya dengan cebikan di bibir.

“Awak ni semuanya handsome. Hari tu awak kata CEO kita handsome, hari ni abang lawyer pulak handsome, mana satu ni?” Usikku.

“CEO kita tu lain, dia bujang lagi.” Balas Linda seakan berbisik sambil matanya melilau kiri dan kanan, takut benar bicaranya didengar oleh orang lain.

Aku tersenyum lagi, gelihati melihatkan gelagatnya.

“Apa bezanya dah kahwin atau bujang bagi lelaki, Lin?” Aku sengaja ingin berdiskusi dengannya. Selalunya dia memang banyak idea yang menarik dan boleh diterima akal.

“Belum kahwin masih teruna, kalau dah kahwin tu maknanya tak teruna lagilah.” Mudah dia membuat kesimpulan.

“Awak percaya ke kalau lelaki tu bujang, dia masih teruna?” Aku sengaja ingin menduganya.

“Entahlah Cik Tasya, susah saya nak jawab soalan tu.” Akhirnya Linda mengangguk jua.

Memang benar kata Linda, aku sendiri pun agak sukar untuk menjawab persoalan tersebut. Aku banyak mendengar kes gejala sosial semakin berleluasa di waktu ini dan paling membimbangkan ialah berlakunya seks bebas. Jika berlakunya sesuatu hubungan seks, masyarakat pasti menganggap perempuan itu telah kehilangan dara atau panggilan yang lebih tepat untuknya ‘bukan anak dara lagi’. Tetapi adakah lelaki itu akan diberi gelaran ‘bukan teruna lagi’? Jawapannya pasti tidak. Kenapa? Entahlah, rasanya tidak adil untuk seorang perempuan.

Aku ingin melangkah meninggalkan Linda tetapi senyuman di bibirnya membuatkan aku membatalkan niat. Dari gayanya aku tahu ada perkara yang dia sedang fikirkan dan ingin diluahkan kepadaku.

“Ada apa?” Aku bertanya.

Dia bagai teragak-agak untuk membuka bicaranya.

“Saya terfikir alangkah bagusnya kalau Encik Zahim Lukman tu belum kahwin lagi, pasti saya akan lobi cukup-cukup untuk Cik Tasya.” Ujar Linda mengundang ketawaku.

“Betul Cik Tasya…Dia memang handsome, sesuai dengan Cik Tasya.” Tambahnya lagi.

“Semua orang yang saya tak pernah jumpa awak kata handsome tapi si Shamir tu tak pulak awak kata handsome.” Aku sengaja mengusiknya, sengaja menggunakan nama Shamir, Senior Excutive di bahagian Hiasan Dalaman kami yang kelihatan begitu berminat pada dia.

“Huh!” Spontan dia mencebikkan bibir, seakan kurang senang dengan usikanku. Lucu benar aku lihat memek mukanya.

Handsome saja bukan boleh dijadikan sandaran semata-mata Lin. Bagi saya apa yang perlu ada pada seseorang lelaki bukan hanya sempurna di pandangan mata tetapi mestilah juga sempurna pada hati.” Aku cuba mengalih tumpuan pemikiran Linda.

“Tapi Encik Zahim Lukman ada pakej yang tersendiri. Bagi saya dia cukup sempurna sebagai lelaki idaman wanita. Paling saya suka ialah renungan matanya, boleh cair hati saya. Bertuah betul isteri dia.” Bicaranya sekali lagi mengundang ketawaku.

“Dahlah handsome, berharta pulak tu.” Sambungnya lagi.

“Apalah yang ada pada harta Lin? Pada saya sempurna di mata tidak semestinya sempurna juga di hati, yang pentingnya apa kata hati kita.” Ulasku, memberi pandangan peribadi.

“Memang betul cakap Cik Tasya tu tapi sekurang-kurangnya nak juga yang sedap mata memandang dan punya masa depan. Kalau handsome tapi kerja asyik meminta wang dari kita buat apa? Kalau banyak duit tapi nak pandang pun rasa macam nak termuntah buat apa?” Lancar saja mulut becok Linda meluahkan pendapatnya. Bercerita dengan Linda memang tidak akan jemu. Walaupun masih muda tetapi fikirannya terbuka dan dia boleh diajak berbincang tentang apa saja.

“Apa yang saya nampak tentang Encik Lukman ni susah nak diceritakan dengan kata-kata. Sukar untuk dicari ketidaksempurnaan pada dirinya.”

“Kalaulah dia belum kahwin, memang sesuai sangatlah dengan Cik Tasya.” Sambung Linda lagi, mengulangi angananya.

“Alaa…Kalau dah kahwin pun apa salahnya, lelaki kan diberi budget sampai empat.” Selorohku sambil menunjukkan empat jari kananku ke arahnya.

“Eh! Biar betul Cik Tasya?” Linda membesarkan matanya.

“Gurau ajelah!” Balasku dan terus mengatur langkah

“Layan awak cakap, memang tak habis. Kerja saya yang bertimbun nanti.” Aku menyambung kata membuatkan Linda ketawa mengekek.

Baru tiga minggu bernaung di bawah Mewah Holding, aku merasa cukup selesa. Punya bilik pejabat sendiri dan kelengkapan yang ada di dalamnya cukup memuaskan hati. Sebagai Asst. Project Manager, tugasku amatlah berat apatah lagi untuk seorang wanita yang feminin sepertiku ini. Seakan tidak percaya bila diberi kepercayaan untuk memegang jawatan ini. Di hati aku berjanji akan melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan juga syarikat. Akan aku buktikan pada semua orang bahawa perlantikan serta kedatanganku ke sini memberi keuntungan pada syarikat.

“Saya yakin dengan kebolehan awak Tasya, sebab itu saya tidak teragak-agak untuk mencadangkan awak kepada Tan Sri. Melihatkan perkembangan baik Emas Corporation, Tan Sri pula tidak teragak-agak untuk menerima usul saya melantik awak dan membawa awak ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.” Kata-kata Encik Rahman, bekas ketuaku dulu masih tergiang-giang ditelinga.

Empat tahun bersama Emas Corporation, anak syarikat Mewah Holding, bukanlah satu tempoh yang lama untuk dijadikan ukuran kejayaan. Di atas dasar kepercayaan yang diberi dan semangat dari Encik Rahman menguatkan semangatku untuk melangkah dari Johor Bharu ke Ibu Kota ini. Jauh di sudut hatiku aku tidak ingin menjejakkan kaki ke sini kerana Kuala Lumpur akan berkemungkinan menemukan aku dengan orang yang tidak ingin aku temui saat ini.

“Kalau ada pilihan, saya tidak ingin ke Kuala Lumpur Encik Rahman.” Aku meluahkan pada Encik Rahman sejurus mengetahui yang aku akan dinaikkan pangkat dan akan dipindahkan ke Ibu pejabat di Kuala Lumpur. Encik Rahman melepaskan keluhan mendengar luahanku.

“Tasya…Kadangkala pilihan yang kita ada langsung bukan yang kita inginkan tapi mungkin apa yang kita tidak ingin hari ini akan menjadi penting untuk diri kita esoknya dan apa yang dianggap tidak baik hari ini mungkin akan menjadi yang terbaik suatu hari nanti.” Nasihat Encik Rahman lembut masuk ke telinga menyentuh hati kecilku.

Terdiam aku buat seketika mendengar kata-kata nasihat dari seorang ketua yang cukup aku hormati. Encik Rahmanlah orang yang banyak mengajar aku menjadi manusia yang gigih dalam menempuh dugaan hidup.

“Saya tidak tahu kenapa awak tidak mahu ke Kuala Lumpur dengan offer yang sangat menarik tetapi saya yakin awak ada alasan tertentu. Kalau awak ingin mendengar nasihat saya, percayalah.....Awak punya masa depan yang amat cerah di sana nanti. Awak punya bakat dan kebolehan, pada orang yang tahu menilai, awak punya kelebihan yang jarang ada pada orang lain.” Ujar Encik Rahman lagi.

Itulah kata-kata yang membakar semangatku untuk melangkah ke Kota Metropolitan ini. Encik Rahmanlah orang yang bertanggungjawab membawa aku ke sini dan saat ini, sedikit demi sedikit aku mula yakin pada diri sendiri.

Nani, sahabatku juga memberi pendapat yang sama ketika aku menghubunginya melalui telefon dan menyatakan kebimbanganku.

“Pergilah Sya…Kalau tuhan takdirkan kau bertemu dengannya di sana, moga penyudahnya membahagiakan kau. Sampai bila kau nak lari? Ke mana pun kau lari, hakikatnya tetap begitu.” Ujar Nani membuatkan aku terdiam.

“Hidup ini bukan senang dan tidak juga susah. Jika kita fikirkan kesusahan, maka susahlah jadinya tetapi jika kita fikirkan kesenangan, maka ianya pasti akan menjadi semudah yang kita inginkan.” Nasihat Nani lagi, menusuk halus masuk ke hatiku.

Itulah kata-kata seorang sahabat yang terlalu banyak membantuku. Seorang sahabat yang cukup memahami dan tahu segalanya tentang sejarah hidupku. Kata-kata itulah yang membuatkan aku berani menjejakkan kaki ke sini.


No comments:

Post a Comment