Thursday, December 9, 2010

Bab 2

Bunyi interkom di meja mengejutkan aku dari terus mengelamun. Huh! Kus semangat. Itulah, masa kerja jangan termenung. Selamba mengutuk diri sendiri.

“Kau nak makan ke tidak?” Suara Zetty kedengaran di hujung talian.

“Assalamualaikum..” Ucapku bersahaja, dalam diam ingin mengenakannya.

“Hantu kau, kalau bab kenakan aku memang kau tak pernah kalah.” Jerit Zetty disulami ketawanya.

“Tahu pun. Salam apa pun tidak, tiba-tiba nak makan ke tak. Aku rasa kalau pontianak jawab telefon pun boleh menjerit terperanjat.” Balasku, menyindirnya.

Makin kuat ketawa Zetty mendengar sindiranku.

“Nak ke tak nak?” Dia ulang bertanya bila ketawanya reda.

“Mmmm… Boleh juga, makan kat mana?” Soalku pula.

“Aku makan kat mulut tapi kalau kau aku tak tahu.” Zetty mengenakan aku balik. Kurang asam betul, terkena juga aku.

“Okeylah, malas aku nak layan kau. Turun sekarang, aku tunggu kat lobi.” Ujarku, menamatkan perbualan kami.

Keakraban kami semasa di Universiti bersambung kembali di Mewah Holding. Pertemuan yang tidak aku sangka menyambung kembali ikatan persahabatan yang telah terputus setelah masing-masing menamatkan pengajian di USM dulu.

Zetty menjerit kuat dan terus memelukku tatkala aku diperkenalkan padanya sewaktu hari pertama aku melangkah masuk ke sini. Dia telah hampir empat tahun bertugas sebagai Account Manager di situ. Bagai tidak percaya hampir empat tahun lamanya kami bertugas di bawah syarikat yang sama cuma bezanya dia di ibu pejabat dan aku di anak syarikatnya.

Kalau dia terperanjat, aku lebih dari terperanjat. Apa tidaknya, hampir empat tahun menjadi sahabat akrab dan berpisah juga hampir empat tahun dan ditemukan kembali di bawah satu bumbung.

Ketika sampai di lobi, Zetty telah sedia menungguku di situ. Walaupun bekerja di bawah satu bumbung, pejabat kami berada di aras yang berbeza dan jika masing-masing punya waktu, kami akan makan bersama. Seperti biasa, tempat makan kami di Kafeteria sebelah bangunan pejabat. Cuma sesekali bila datang angin tak betul Zetty, dia sanggup memandu meredah kesesakan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memenuhi nafsu makannya.

Sedang enak menjamu selera, tiba-tiba datang seorang lelaki berdiri di depan meja kami.

“Eh! bang, tak kerja ke?” Zetty bersuara, sedikit terperanjat.

Lelaki tersebut tidak terus menjawab sebaliknya selamba duduk di kerusi yang masih kosong di meja tersebut. Suapanku terhenti apabila perasan lelaki tersebut menuntaskan pandangan ke arahku. Mendongakkan wajah, mataku terus bersambung dengan matanya. Lantas, aku cepat-cepat menunduk kembali, ngeri melihatkan renungannya yang bagai meratah setiap inci wajahku.

“Kawan Zetty, Tasya.” Zetty bersuara, memperkenalkan aku kepada lelaki tersebut dan kemudiannya dia memandang ke arahku.

“Ini abang aku, Haris.” Ujarnya memeranjatkan aku. Sepanjang perkenalan kami, dia tidak pernah berbicara tentang abangnya ini.

Sebaris senyuman aku lemparkan sebagai salam perkenalan dan senyumanku dibalas mesra olehnya. Boleh tahan juga, hati nakalku berbisik perlahan

Nice to meet you.” Ujar Haris sambil menghulurkan tangannya tanda perkenalan.

Nice to meet you too.” Balasku, menyambut huluran tangannya.

Hangat dan kemas genggaman tangannya mengganggu sedikit ketenteraman fikiranku waktu ini. Wajah serta gaya persis Ari Wibowo menarik mataku untuk memandangnya sekali lagi.

“Dari mana ni?” Zetty bertanya abangnya.

“Jumpa Julia kejap.” Haris menjawab malas. Mendengar nama itu keluar dari bibir abangnya Zetty terus mencebikkan bibir. Entah kenapa dari air mukanya terlukis riak kurang senang tatkala nama Julia disebut. Siapa sebenarnya perempuan itu?

Tanpa mempedulikan perbualan dua beradik itu aku meneruskan suapan. Aku buat- buat tidak nampak biarpun perasan mata Haris sesekejap singgah di wajahku. Cepatlah pergi, hati kecil cuba untuk menghalaunya.

Seketika kemudian Haris meminta diri untuk pergi dan aku melepaskan nafas kelegaan tanpa disedari oleh Zetty. Lega hatiku seolah baru terlepas dari ancaman bahaya.

Langkah kaki Haris aku hantar juga dengan pandangan memerhati. Agaknya memang tabiatku suka memerhati orang dari kejauhan, bila dekat takut pula. Mmmm… nampak smart walau pun hanya memakai T’shirt dan jeans. Kerja apa ya?

“Ehemm..” Zetty berdehem kecil. Terukir senyuman nakal di bibirnya, apa yang berlegar di fikirannya waktu ini aku tidak tahu.

"Kau tak pernah cakap pun kau ada abang?" Ujarku sambil meletakkan sudu ke pinggan. Sepanjang kami bersahabat, Zetty tidak pernah bercerita tentang abangnya. Cerita yang selalu aku dengar cuma tentang mama dan papanya sahaja.

"Kenapa? Kalau aku beritahu, kau nak jadi kakak ipar aku ke?" Soalan Zetty cukup bersahaja namun mampu mengusik hatiku. Dia tersengih apabila melihat aku merenungnya tajam.

"Lelaki yang okey dan baik hati macam si Zairie tu pun kau reject, inikan pula abang aku yang tak betul tu, aku yakin sebelah mata pun kau tak pandang." Sambung Zetty lagi, mengembalikan ingatanku pada anak muda bernama Zairie yang kami kenali sewaktu di Universiti dulu.

"Kau ni sesedap mulut aje cakap abang kau tak betul, adik apa kau ni?" Protesku, kurang senang dengan bicaranya.

"Bukan sesedap mulut tapi itulah kenyataanya. Otak dia gila-gila sikit, perempuan keliling pinggang tapi tak pernah lekat.” Dia cuba mempertahankan kenyataanya.

"Julia tu yang terakhir buat masa sekarang. Berapa lama boleh tahan aku sendiri tak pasti tapi kalau sebelum ni, paling lama pun sebulan.” Sambungnya.

Mendengar ceritanya aku agak terperanjat. Kalau satu bulan satu orang, satu tahun dua belas orang. Wah! Banyak betul koleksi, hatiku berkata sendiri.

"Boleh aku tanya kau satu soalan?" Tiba-tiba Zetty melontarkan soalan setelah agak lama kami mendiamkan diri sambil menikmati buah tembikai sebagai pencuci mulut.

"Sejak bila kau pandai minta izin sebelum bertanya?" Sindirku tanpa memandangnya. Dia hanya menyengih.

"Kenapa kau reject Zairie?" Soalnya, merenung ke wajahku.

"Bila masa aku reject dia?" Soalku balik dengan wajah yang bersahaja. Bukan aku tidak terusik mendengar nama tersebut tetapi semua itu cerita lama, untuk apa nak dikenang.

"Kau buat tak layan aje, rejectlah tu. Kau tahu..."

"Tak tahu." Jawabku pantas memotong bicaranya.

"Kau ni... Aku belum habis cakap lagilah." Marahnya, memukul lenganku perlahan.

"Masa konvo hari tu, dia merayu kat aku nak nombor telefon kau. Aku naik kesian tengok dia, sebiji macam orang tak betul.” Ujar Zetty dan berhenti seketika.

“Lepas tu, awal tahun ni aku terserempak dengan dia di KLIA, sekali lagi dia merayu aku minta alamat kampung kau. Kesian aku tengok dia, kau tak rasa apa-apa ke?" Sambungnya, masih merenung wajahku.

Aku cuma mengelengkan kepala sambil terus menyuap hirisan tembikai ke mulut. Cinta satu anugerah, tidak perlu mencarinya kerana ia akan datang sendiri masuk ke hati kita. Andai hati tidak merasa apa-apa, maknanya anugerah itu masih belum hadir. Maka, apa yang boleh aku katakan jika perasaan itu tidak pernah hadir untuk Zairie.

“Kalau kau tanya pendapat aku, dia tu dah cukup hebat. Baik, sabar, handsome, anak orang berada pula tu. Ramai siswi kejar dia tapi cinta dia hanya pada kau saja." Dia menyambung kata.

"Sebab itu aku tak tanya pendapat kau." Aku berseloroh lalu tersenyum kecil.

"Aku seriuslah!" Marahnya.

"Aku tak mahu lelaki hebat kerana kehebatannya akan lebih merumitkan keadaan. Aku tak punya apa-apa untuk di pertaruhkan Tie." Ucapku perlahan lebih kepada diri sendiri.

Kerana lelaki hebat, aku jadi pelarian. Kerana lelaki hebat juga aku jadi manusia pendendam. Dendam yang terlalu sukar untuk dihapuskan. Walaupun telah lama ditelan masa, ianya tak pernah padam malah semakin hari semakin menyala. Kerana lelaki hebat, pintu hatiku telah terkunci rapat untuk lelaki lain dan kuncinya aku sendiri tidak mampu untuk menggapainya.

“Kau jangan terlalu merendah diri Sya…. Kau dah cukup hebat sebagai wanita. Bijak, cantik dan sentiasa yakin dengan diri sendiri. Apa yang lelaki inginkan dari seorang wanita, semuanya ada pada kau.” Balas Zetty.

Ini bukanlah kali pertama aku mendengar pujian sebegitu malah sudah seakan berulang kali menmbusi telingaku. Seboleh mungkin aku cuba mengingati hati supaya jangan lupa diri, jangan taksub dengan pujian kerana ia akan melekakan. Tidak perlu membangga diri kerana semua anugerah tuhan ini hanyalah sementara.

Selesai makan, aku berpisah dengan Zetty di lobi menuju ke car park untuk mengambil dokumen yang tertinggal di dalam kereta. Sewaktu menutup pintu kereta, aku terpanggil untuk melihat seorang lelaki yang sedang masuk ke dalam kereta CRV hitam. ‘Seakan aku kenal lelaki itu, tapi siapa ya?’ Aku bertanya sendiri di dalam hati. Sehingga kereta tersebut hilang dari pandangan, otakku masih bekerja keras untuk mengingati bayangan lelaki itu. Ah! Mungkin salah seorang klien Emas corporation, aku cuba meneka.

Aku mengatur langkah untuk kembali ke pejabat. Sesampai di lobi, langkahku terhenti apabila terlihat seorang kanak-kanak lelaki yang berpakaian koyak rabak sedang menadah tin kosong menghala ke arahku.

Tersentuh hatiku melihatkan kedaifan kanak-kanak tersebut. Dengan pakaian yang koyak dan kotor serta badan yang sangat kurus dan wajah yang cengkung, hatiku insaf dengan anugerah Ilahi kepada diriku. Walaupun yatim piatu namun aku masih mampu untuk hidup sempurna seperti insan lain tetapi kanak-kanak ini harus menagih simpati orang ramai untuk sesuap nasi agar dapat terus bernyawa di muka bumi ini. Alangkah tidak adilnya dunia, budak sekecil ini yang langsung tidak berdosa terpaksa menempuh hidup yang sesukar begini.

Tersentuh dengan apa yang aku lihat, jemariku terus mengeluarkan wang kertas sepuluh ringgit dari dalam dompet dan memasukkan ke dalam tin kosong tersebut. Dengan ucapan terima kasih kanak-kanak itu pantas berlalu pergi.

Ketika sedang menunggu lif, aku masih lagi memandang kelibat kanak-kanak tersebut. Kerana terlalu leka, aku tidak perasan pintu lif sudah terbuka dan semua orang di dalamnya telah keluar. Ketika pintu lif hampir tertutup aku berkejar untuk menekan butang bukanya. Dalam kelam kabut itulah aku tidak perasan dari mana arah datang seorang wanita yang juga ingin menekan butang tersebut dan mungkin pergerakan kami sama-sama laju maka berlaku satu perlanggaran yang tidak diduga. Bersama pelanggaran itu, telefon bimbit wanita tersebut jatuh ke lantai.

"I'm sorry." Spontan aku memohon maaf kepada wanita tersebut sambil mengutip telefon berjenama Nokia yang telah terburai isi perutnya.

"Minta maaf miss, saya tak sengaja." Ucapku, sekali lagi memohon maaf apabila melihatkan kemarahan pada wajahnya.

"Buta ke???" Jerkahnya memeranjatkan aku. Dia pantas merampas telefon bimbitnya dari tanganku. Buat seketika aku tergamam di situ.

"Kalau dah buta tu lain kali jalan pakai tongkat!" Jeritnya lagi setelah melihat aku hanya mendiamkan diri.

Jeritan kali kedua perempuan tersebut mengundang orang ramai di sekeliling kami menoleh-noleh dan ada yang berhenti melangkah, mungkin ingin melihat apa yang sedang berlaku.

“Maaf miss, saya betul-betul tak sengaja.” Sekali lagi aku memohon maaf dengan suara yang rendah sekali gus merendahkan diri walau pun aku tahu bukan hanya aku yang bersalah dalam perlanggaran tersebut.

"Julia! Kenapa ni?" Tiba-tiba ada suara seorang lelaki menegur.

Mataku terus terbuka luas tatkala melihat siapa gerangan lelaki itu. Haris! Dia sudah berdiri di sebelah perempuan tersebut yang di panggil Julia. Oooo..ini rupanya Julia? Hatiku berkata-kata sendiri.

Haris juga seakan terperanjat melihat aku di situ. Buat seketika kami saling bertatapan sebelum aku mengalihkan pandnagan.

“Ada orang berjalan tak buka mata langgar I. Nak kata buta, nampak macam celik. Nasib baik phone ni tahan lasak.” Julia menyindir sambil menekan-nekan butang telefon bimbitnya. Pedas sekali sindirannya menerjah anak telingaku.

“Saya benar-benar minta maaf. Memang saya tak perasan tadi.” Ucapku perlahan, untuk kali keempat memohon maaf tetapi kali ini ucapan itu lebih ditujukan kepada Haris.

You kenal dia?” Julia bertanya hairan sambil matanya memandang Haris dan aku silih berganti. Anggukan Haris nampak lemah tetapi tetap meyakinkan Julia yang dia memang mengenali aku.

"Huh!” Julia mendengus kasar sambil menarik tangan Haris berlalu dari situ. Bagai lembu di cucuk hidung, tanpa suara Haris mengikut saja tarikan tangan Julia.

Sehingga melangkah kaki menuju ke pejabat, fikiranku sarat dengan pelbagai persoalan tentang Haris. Hatiku bagai di tarik-tarik untuk mengenali lelaki itu. ‘Jangan nak cari penyakit Tasya’ suara hatiku memberi amaran. ‘Kau dah lihat bagaimana kekasihnya bukan?’ sambung suara itu lagi

Tiba di meja Linda, dia kecoh bercerita tentang kedatangan Encik Zahim Lukman mengambil suratnya. Kata Linda lagi, dia mengucapkan berbanyak terima kasih kepadaku dan sekiranya berkesempatan, dia akan menyampaikan ucapan terima kasih itu sendiri melalui telefon atau secara berdepan.

Cerita Linda tentang Encik Zahim Lukman itu langsung tidak menarik minatku tetapi fikiranku lebih tertumpu pada peristiwa pelanggaran tadi. Bagaimana lelaki yang sentimental seperti Haris itu boleh jatuh cinta dengan perempuan kasar seperti Julia? Kuasa tuhan tak siapa yang tahu, peliknya cinta hanya orang yang pernah jatuh cinta saja tahu rahsianya.

2 comments: